Wednesday, October 21, 2009

Surau oh surau

Bismillahi wal hamdulillah…

Alhamdulillah, syukurku ke hadrat Ilahi kerana pada pagi ini Dia mengizinkanku untuk solat Subuh di surau… Bersama adik kesayangan langkahku hayun….

Namun, agak terkilan rasanya hatiku kerana sejak akhir-akhir ni azan lambat berkumandang. Bisik hatiku, ‘mana bilal ni?’ Cepat-cepat kupujuk hatiku untuk husnuz zhon, ‘barangkali bilal study smpai lewat malam kot..lagipun final exam dah nak dekat ni…’.Tidak lama kemudian azan pun berkumandang…

Jika kita imbas kembali sirah junjungan besar Nabi Muhammad (S.A.W), masjid atau surau memainkan peranan yang amat penting. Fungsi masjid bukan sahaja terbatas kepada aktiviti dakwah, malah hal-hal yang melibatkan pentadbiran, sosial dan ekonomi juga turut dijalankan di sini.

Teringatku kenangan semasa berada di KMPh 3 tahun yang lalu. Hidup sungguh masjid al-Muttaqin. Pelbagai aktiviti dijalankan di masjid…qiamullail, iftar, sambutan Awal Muharram dan banyak lagi. Hatta group discussion pun kami adakan dalam masjid. Pada waktu itu, masjid adalah rumah kedua kami. Sungguh indah kenangan itu…

Masjid Al-Muttaqin, KMPh

Solat berjemaah di masjid atau di surau sememangnya amat dituntut lebih-lebih lagi bagi kaum muslimin…(muslimat pun tak salah ke masjid atau surau asalkan menjaga batas-batasnya). Ganjaran solat berjemaah adalah melebihi solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda sepertimana hadis yang kita biasa dengar selama ini.

Dalam satu hadis yang lain yang diriwaytkan oleh Muslim melalui Abu Hurairah di mana Rasulullah (S.A.W) bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian menuju sebuah masjid untuk menunaikan solat fardhu, di antara langkahnya itu ada yang menghilangkan dosa dan ada yang mengangkat kedudukanya”

Subhanallah…sungguh besar ganjaran yang Allah berikan kepada hambanya yang melangkah untuk solat berjemaah di surau atau masjid. Bukan sahaja tawaran pengampunan dosa, bahkan diangkatkan kedudukan kita di sisi Allah.

Jom sahabat…kita pi surau atau masjid. Sama-sama kita menghidupkannya sambil merebut promosi hebat daripada-Nya…

-Islam Manhaj al-Hayah-

No comments:

Post a Comment